SHAH ALAM: Sepasang suami isteri yang memiliki empat anak ditahan selepas terbongkar kegiatan jijik mereka menjual video lucah dan menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi sosial sejak tahun lalu.
Pasangan berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur dalam Op E-Noda di sebuah residensi di Seksyen 27, kira-kira jam 8 malam Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan mendapati suspek lelaki bertindak sebagai pencipta kandungan dengan mempromosikan video lucah isterinya, selain mengatur kegiatan pelacuran.
“Mereka mula aktif sejak Jun tahun lalu. Suspek menyasarkan pelanggan yang menggunakan aplikasi X untuk membeli video lucah, manakala urusan lanjut dilakukan melalui Telegram,” katanya.
Menurut Rusdi, bayaran dikenakan bagi video lucah ialah RM50 untuk ‘Private Channel Limited Content’ manakala RM150 untuk ‘Private Channel VVIP Unlimited Content’.
Bagi khidmat seks pula, pelanggan dikenakan bayaran antara RM450 hingga RM800, biasanya diadakan di sebuah residensi bertaraf empat bintang.
“Wanita terbabit berperanan sebagai pelacur, sekaligus menjadi pelakon utama dalam setiap video bagi melariskan jualan. Hasil kegiatan ini, pasangan itu meraih pendapatan sehingga RM6,400 seminggu,” katanya.
Pasangan terbabit kini ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 372(1)(e), 372A, 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.