PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pagi ini bertukar suram dan penuh emosi apabila Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan penghakiman terakhirnya, tepat pada hari beliau mencapai umur persaraan wajib.
Dalam prosiding bersejarah itu, Tun Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak sah, sekali gus memberi kemenangan kepada Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abdul Hadi yang mencabar kesahihan peruntukan tersebut.
Sejurus keputusan diumumkan, Majlis Peguam Malaysia yang diwakili Timbalan Presidennya, Anand Raj menyampaikan ucapan perpisahan penuh penghargaan kepada Tun Tengku Maimun.
“Hari ini kita bukan sahaja menyaksikan persaraan seorang Ketua Hakim Negara, tetapi meraikan legasi luar biasa Tun yang telah mengubah wajah kehakiman Malaysia.
“Tun bukan sahaja Ketua Hakim wanita pertama, malah telah memulihkan semula maruah institusi ini selepas krisis 1988, meletakkannya setaraf kehakiman terbaik di Komanwel,” katanya dalam nada sebak.
Turut menyampaikan penghormatan, peguam kanan Datuk Gurdial Singh Nijar yang memuji keteguhan prinsip Tun Tengku Maimun mempertahankan kebebasan kehakiman walaupun berdepan tekanan mutakhir ini.
“Cadangan untuk melanjutkan perkhidmatan Tun bukan cubaan mempolitikkan kehakiman, tetapi lahir daripada penghormatan terhadap mutu penghakiman Tun yang menepati piawaian antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, peguam muda Lim Wei Jiet menyifatkan Tun Tengku Maimun sebagai inspirasi generasi baharu perundangan.
“Kesetiaan Tun kepada Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan doktrin pengasingan kuasa telah meniupkan semula semangat perundangan di negara ini.”
Prosiding turut tersentuh apabila peguam Raja Eileen Soraya bangkit berdiri di galeri awam dan berkata secara spontan, “Tolonglah tinggalkan pejabat with your head helds high, kerana Tun telah membolehkan kami juga mendongak dengan bangga.”
Dalam nada tenang namun jelas terharu, Tun Tengku Maimun membalas:
“Saya amat berterima kasih atas semua kata-kata penghargaan, khususnya kepada Majlis Peguam yang sentiasa berdiri di belakang kami.
“Ketika institusi kehakiman diserang, kami tahu kami dibela. Untuk itu, saya amat bersyukur.”
Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, Tengku Maimun mencatatkan deretan penghakiman berani yang mempertahankan Perlembagaan, termasuk menolak ‘ouster clause’ Parlimen dalam kes Nivesh Nair, memperjelas bidang kuasa negeri dan persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina vs Kerajaan Kelantan serta mempertahan hak ‘legal professional privilege’ dalam Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri vs Majlis Peguam.
Beliau juga dikenang sebagai arkitek transformasi digital sistem kehakiman semasa pandemik Covid-19 yang memastikan akses rakyat kepada keadilan tidak terhenti.
Tun Tengku Maimun secara rasmi menamatkan tugasnya hari ini, manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dijadual mengakhiri perkhidmatan esok.