TEMERLOH: Seorang guru yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.
Tertuduh, Rosli Sulaiman, 47, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Jamaludin Mat, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit miliknya.
Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira 6 petang, 18 Jun lalu di IPD Temerloh.
Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit serta komputer riba milik beliau.
Kesalahan dilakukan itu kira-kira 4:45 petang, 19 Jun lalu, di sebuah rumah di Kampung Berhala Gantang.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 10, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes.
Hakim turut menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh menganggu saksi dan melapor diri di balai polis berdekatan kediamannya sebulan sekali.