Kubur Bukan Tempat Cari Berkat

PUTRAJAYA:Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan umat Islam agar tidak menjadikan tanah perkuburan sebagai tempat mencari keberkatan atau populariti.

Beliau mengulas laporan mengenai tindakan segelintir individu yang didakwa mengambil tanah dari pusara pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, kononnya untuk mendapat berkat.

“Islam mengajar umatnya menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia serta menghormati kawasan perkuburan. Ziarah kubur itu sendiri bertujuan mengingatkan kita tentang mati, menambah keinsafan, dan mendoakan kesejahteraan roh si mati, bukan untuk amalan yang tiada asas dalam syariat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mohd Na’im menegaskan perbuatan mengambil tanah kubur lalu menyapunya ke wajah dengan kepercayaan ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu boleh membawa kepada perbuatan yang menyimpang daripada akidah Islam.

Beliau turut memuji tindakan keluarga Allahyarhamah yang tegas namun berhemah dalam menangani isu ini, selain usaha pihak berkuasa agama yang terus memantau kawasan perkuburan bagi mengelak amalan khurafat.

“Saya menyokong usaha ini kerana ia selari dengan pendirian kerajaan untuk membanteras amalan khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam. Kepada mereka yang terlibat, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, mohonlah ampun kepada Allah dan hentikan perbuatan sia-sia ini,” ujarnya.

Beliau menambah, amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang paling benar, bukan yang paling popular.

Dalam pada itu, media sebelum ini melaporkan kubur Allahyarhamah Nurly Shahirah yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Gerik, Perak terpaksa dipasang tali penghadang.

Ini susulan tindakan tidak wajar beberapa pihak yang mengambil tanah kubur ketika menziarah.

Rumah keluarga serta kubur Allahyarhamah turut tidak putus-putus diziarahi orang ramai yang ingin bertemu keluarga dan melihat mushaf al-Quran tulisan tangan Nurly Shahirah yang tular sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles