KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang sedang tidur di katil ibunya telah dicabul dan dirogol oleh kekasih ibunya, sambil diperhatikan wanita itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata ibu remaja berkenaan didakwa berada di dalam bilik yang sama dan menyaksikan kejadian itu berlaku di rumah mereka di sini.
Kejadiam berlaku pada pertengahan tahun lalu kira-kira jam 4 petang ketika mangsa berusia 14 tahun sedang tidur di bilik tidur ibunya.
“Mangsa terjaga apabila terasa seseorang menyentuhnya dan sebaik membuka matanya ternampak ibunya, 36 serta teman lelakinya berusia 61 tahun di sebelahnya.
“Suspek lelaki kemudian bertindak merogol mangsa, disaksikan ibunya,” katanya memetik laporan BH.
Tambah beliau, pada 25 Jun lalu, mangsa turut melihat mesej antara ibunya dan lelaki itu merancang lebih banyak aktiviti seksual dan suspek menyatakan hasratnya untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa di sebuah hotel.
Katanya, mangsa yang ketakutan melarikan diri ke rumah rakannya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut.
“Susulan itu, polis menahan ibu mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan teman lelakinya yang bekerja sendiri, semalam.
“Mereka direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih tiga puluh tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.