Bayi Baru Lahir Ditinggal Dalam Beg Plastik Tepi Jalan Dekat Masjid

KUALA SELANGOR: Penduduk Kampung Api-Api gempar apabila menemui seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan dalam sebuah beg plastik di tepi jalan berhampiran Masjid Jamiul Huda, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharuddin Tajuddin berkata, bayi malang yang dianggarkan berusia seminggu itu dijumpai dalam keadaan bernyawa sekitar jam 9.11 malam, sebelum perkara itu dilaporkan oleh orang awam kepada pihak berkuasa.

“Kami menerima panggilan daripada Hospital Sungai Buloh memaklumkan mengenai penemuan bayi tersebut melalui MERS 999,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bayi seberat 2.13 kilogram yang cukup sifat itu kini berada dalam jagaan Hospital Tanjung Karang untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.

Menurut Azaharuddin, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan membunuh.

“Kami menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” ujarnya.

Beliau meminta mereka menghubungi IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Mazliah Azizi di 017-6649100.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang pantas bertindak melaporkan penemuan itu, sekali gus membantu menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.

“Kerjasama masyarakat sangat penting dalam membanteras kejadian seperti ini daripada terus berulang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles