Perbicaraan Rompakan Pegawai SPRM: Saksi Akui Tidak Rekod Kenyataan Pegawai Penting

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rompakan membabitkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi itu menyaksikan siri pendedahan mengejutkan berhubung kelemahan dalam prosedur siasatan dan pengurusan bukti oleh pihak pendakwaan.

Saksi pendakwaan ke-17, Asisten Superintenden (ASP) Junainah M. Kasbolah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengakui bahawa dokumen fizikal seperti gambar-gambar bukti rampasan tidak disertakan dalam kertas siasatan (IP) yang diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Azizzul Shariman Mat Yusoff, saksi menyatakan beliau hanya melihat gambar menerusi cetakan WhatsApp dan tidak melihat atau menyertakan dokumen asal. Saksi juga tidak dapat mengesahkan sama ada bahan bukti fizikal itu pernah diterima secara rasmi oleh pihak pendakwaan.

Peguam berhujah bahawa ketiadaan dokumen fizikal itu mungkin sengaja disembunyikan dan menyifatkannya sebagai satu bentuk “suppression of evidence”, yang merupakan satu kesalahan serius dalam perbicaraan jenayah. Saksi bagaimanapun menafikan wujudnya niat untuk menyembunyikan bukti katannya di hadapan hakim, Izralizam Sanusi.

Dokumen Bukti ‘Hilang’, Borang Rampasan Tidak Dirujuk

Peguam turut merujuk laporan polis bertarikh 18 Disember 2021 yang dibuat di Balai Polis Cheras mengenai borang rampasan barang dari sebuah kenderaan tertuduh. Borang itu menyebut tentang dokumen bersaiz A4 berkaitan siasatan SPRM terhadap aktiviti penipuan dan pengubahan wang haram, yang dikaitkan dengan gambar dalam salah satu ekshibit.

Namun, saksi menegaskan dokumen itu tidak pernah direkodkan dalam senarai barang kes, justeru tiada laporan kehilangan dibuat.

Dzulkifli Ahmad: Rakaman Pegawai Penting Tidak Dibuat, Hierarki Tidak Disemak

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang kini bertindak sebagai peguam bela, menyoal ASP Junainah mengenai pemahamannya terhadap struktur dalaman Bahagian Siasatan SPRM. Saksi mengakui tidak melakukan semakan terhadap struktur organisasi termasuk peranan Timbalan Pengarah sektor swasta atau awam.

Saksi juga mengesahkan bahawa hanya dua pegawai SPRM dirakam keterangannya, termasuk Ketua Cawangan Siasatan Bahagian F, Tuan Syed Mohd Tarmizi Syed Musa , yang merupakan pegawai penyelia kepada dua tertuduh – Mohamad Hafiz dan Azwan.

Bagi tertuduh ketiga, Mohd Fahmee, saksi menyatakan bahawa penyelianya dipercayai ialah Mohd Syukri Sa’ad, namun tiada percubaan dilakukan untuk mengambil keterangan daripadanya, meskipun beliau merupakan ketua unit sektor awam.

Saksi turut menyatakan tidak pasti tentang peranan Shahidan Mohamad Sabarudin, pegawai SPRM Gred 29, walaupun Shahidan didakwa pernah mengeluarkan arahan. Difahamkan, Shahidan adalah pegawai yang lebih rendah daripada Mohd Fahmee (Gred 44).

Saksi Material Tidak Dirakam Percakapan

Salah satu isu utama yang dibangkitkan ialah kegagalan merakam percakapan Norhaizam binti Mohamad, yang dikenal pasti sebagai Timbalan Pengarah Sektor Swasta SPRM dan saksi material berdasarkan taklimat oleh pegawai penyiasat asal, ASP Rosnaini.

Saksi mendakwa telah memberi arahan untuk rakaman dibuat, namun tidak dapat mengesahkan sama ada arahan itu dilaksanakan.

Ketika diasak, saksi akhirnya bersetuju bahawa Norhaizam adalah saksi material, tetapi mengakui tiada tindakan dibuat terhadap saksi lain seperti Timbalan Pengarah Sektor Awam, Yuhafiz, serta tiada semakan terhadap sebarang arahan daripada pihak atasan SPRM.

Peguam kemudian menegaskan bahawa tanpa semakan terhadap SOP dan arahan dalaman, saksi tidak dapat memastikan siasatan dilakukan mengikut prosedur yang sah. Saksi bagaimanapun tidak bersetuju.

Dakwaan Desakan Politik dan Sensitiviti Siasatan

Turut dibangkitkan ialah dakwaan bahawa siasatan kes ini dijalankan atas tekanan politik berikutan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (DAP) di Parlimen dan media. Saksi menyatakan beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Peguam turut mencadangkan bahawa arahan siasatan terus kepada OKT 1 dibuat atas dasar sensitiviti politik melibatkan DAP, namun saksi menyatakan tidak mengetahui hal itu.

Siasatan Sebelah Pihak?

Saksi juga tidak dapat mengesahkan sama ada operasi yang dijalankan oleh OKT 2 dan OKT 3 dilakukan atas arahan OKT 1 yang mendapat kebenaran daripada Tuan Norhaizam sepertimana yang dinyatakan dalam pembelaan.

Ketika ditanya adakah siasatan yang dilakukan berat sebelah dan tidak mengambil kira pembelaan, saksi tetap menyatakan tidak bersetuju.

Hakim kemudiannya menetapkan 31 haribulan julai sebagai Tarikh akhir penyerahan dokumen dan 4 ogos sebagai tarikth Keputusan kes.

BBerkaitan

Latest articles