KUALA LUMPUR: Program Data Telefon Bimbit yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukan satu bentuk pengintipan seperti yang digambarkan segelintir pihak.
Sebaliknya menurut Pengerusi Majlis IPv6 Asia Pasifik dan Pakar Keselamatan Siber, Prof Emeritus Dr Sureswaran Ramadass, program itu merupakan langkah strategik untuk meningkatkan perkhidmatan digital negara tanpa menjejaskan privasi pengguna.
Menjelaskan kekeliruan umum mengenai program tersebut, Dr Sureswaran menegaskan bahawa data yang dikumpulkan adalah anonim, terkumpul dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi pengguna (PII).
“Data ini hanya melibatkan maklumat seperti kekuatan isyarat, corak penggunaan rangkaian, dan kod kawasan lokasi, tiada nama, nombor telefon, log panggilan atau sejarah pelayaran dikumpulkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, adalah tidak tepat untuk menyamakan program ini dengan pemantauan melampau atau pencabulan privasi, kerana data yang dikumpul adalah jauh lebih asas berbanding apa yang biasa dikumpul oleh syarikat teknologi besar seperti Google, Meta atau Apple bagi tujuan pengiklanan atau analitik.
“Realitinya, program ini dikawal ketat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dan tidak melibatkan sebarang pendedahan kepada pihak ketiga,” ujarnya.
Dr Sureswaran turut menyatakan bahawa program ini memberi impak besar terhadap pembangunan negara, terutamanya dalam merancang pelaksanaan 5G, bandar pintar dan kesiapsiagaan kecemasan.
“Dalam situasi bencana atau krisis kesihatan awam, data ini membantu kerajaan mengenal pasti lokasi populasi dan menggerakkan bantuan dengan lebih cepat dan tepat,” tambahnya.
Beberapa negara maju seperti Korea Selatan, Finland dan Estonia telah lama menggunakan pendekatan sama tanpa isu pelanggaran privasi, sekali gus membuktikan keberkesanannya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat salah yang menimbulkan ketakutan tidak berasas di kalangan rakyat.
“Apa yang perlu ialah lebih ketelusan, komunikasi terbuka dan libat urus berterusan antara kerajaan, pakar dan rakyat. Ini bukan soal pengintipan, tapi soal memperkasakan sistem digital negara,” katanya lagi.
Dr Sureswaran menegaskan bahawa program ini dibina dengan mekanisme kawalan dan perlindungan yang ketat, dengan tujuan utama untuk memastikan rakyat mendapat liputan rangkaian yang lebih baik, perkhidmatan telko yang efisien dan sokongan kecemasan yang responsif.
“Jangan samakan tadbir urus yang baik dengan pencerobohan, atau langkah berhati-hati dengan paranoia. Ini adalah sebahagian dari usaha membina Malaysia sebagai sebuah negara digital yang selamat dan maju,” katanya.