Ibu, Bapa Tiri Budak OKU Maut Didera Direman 7 Hari

MELAKA: Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian tragis seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) fizikal berusia sembilan tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera di kediaman mereka di Taman Kota Laksamana, semalam.

Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 36 dan 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pasangan itu yang merupakan ibu kandung dan bapa tiri kepada mangsa dibawa ke mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan kenderaan polis, lengkap berbaju lokap berwarna jingga.

Mereka keluar dari perkarangan mahkamah kira-kira sejam kemudian.

Difahamkan, mangsa yang merupakan kanak-kanak berketurunan Murut dan anak kedua daripada tiga beradik adalah OKU fizikal yang tidak boleh berjalan.

Kejadian menyayat hati itu terbongkar apabila sebuah hospital swasta di Banda Hilir menerima mangsa yang tidak sedarkan diri selepas dihantar oleh bapa tirinya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Doktor mendapati mangsa mengalami patah kaki dan kesan lebam di kepala serta seluruh badan. Mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan sekitar jam 9.45 pagi,” kata sumber.

Tidak lama selepas itu, ibu kandung mangsa yang merupakan warga Indonesia turut ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles