Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Disyaki Didera

MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut pagi tadi selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan, dengan kecederaan parah termasuk patah kaki dan lebam teruk di kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, selepas mangsa disahkan meninggal dunia di hospital oleh pasukan perubatan.

“Mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapa tirinya. Pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah kaki dan kesan lebam pada kepala serta badan, disyaki akibat didera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Christopher, pihak hospital mengesahkan kematian mangsa berlaku pada jam 9.45 pagi dan segera memaklumkan kepada pihak polis selepas mendapati kecederaan yang dialami adalah luar kebiasaan.

Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan terperinci, termasuk mengambil keterangan individu yang membawa mangsa ke hospital.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti latar belakang keluarga dan sejarah perubatan mangsa,” jelas beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan polis tidak menolak kemungkinan pertuduhan berkaitan penderaan kanak-kanak juga akan dikenakan.

Polis turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

BBerkaitan

Latest articles