KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan sekumpulan lelaki bertopeng yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan sehingga meragut nyawa dua lelaki tempatan di hadapan sebuah kedai serbaneka di kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam Selasa.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.48 tengah malam dan siasatan awal mendapati kumpulan suspek memakai topeng ski dan menaiki sebuah Perodua Alza.
“Kumpulan itu tiba di lokasi dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang sedang berjalan menuju ke kereta mereka di kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan. Kedua-dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat tembakan di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan.
Usaha mengesan identiti dan lokasi suspek kini sedang dijalankan dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta keterangan daripada saksi kejadian.
Menurut beliau, siasatan juga sedang meneliti kemungkinan motif pembunuhan, termasuk sama ada ia bermotifkan dendam atau berkaitan aktiviti jenayah terancang.
“Setakat ini, kita belum menolak sebarang kemungkinan. Polis kini dalam usaha menjejak suspek terlibat dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau pergerakan mencurigakan di kawasan tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-9284 5050/5051 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua mangsa yang berasal dari Sibu, Sarawak ditembak ketika berada di luar kompleks berkenaan, dipercayai sejurus selepas keluar dari premis perniagaan di kawasan tersebut.