KOTA TINGGI: Seorang jurulatih bola sepak persendirian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar perempuan.
Tertuduh, Meor Azizi Zolkfle, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haydar Faridzal Abu Hasan.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Meor Azizi didakwa menyentuh peha dan meraba payu dara seorang remaja perempuan berusia 13 tahun bagi tujuan seksual di Stadium Bandar Penawar pukul 9.20 malam, 2 Mei lalu.
Manakala untuk pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa menyentuh payu dara, paha kanan, menyentuh belakang badan dan perut seorang lagi remaja perempuan berusia 13 tahun.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah pusat sukan dan di hadapan padang sebuah sekolah kebangsaan di Felda Sening, pada 14 November dan 2 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2019 dan boleh dibaca bersama-sama Seksyen 16(1) Akta sama.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fong Fang Leong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya wang jaminan dikurangkan kerana menanggung dua anak dan hanya berpendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan melaporkan diri di Balai Polis Taman Bayu Damai sebulan sekali.
Dia juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendendawaan dan menetapkan 17 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Tertuduh kemudian menangis teresak-esak selepas selesai prosiding tersebut semasa dibawa keluar dari mahkamah.