KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Naim membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kundasamy.
Berdasarkan fakta pertuduhan, Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun 7 bulan bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 19 Mei lepas jam lebih kurang 8.56 malam di Ukiyo Hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, Naim berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan hukuman sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala Naim diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan dan Mohd Irwan Sumadi.
Sementara itu, pelantun lagi Sumpah itu meminta orang ramai memberi ruang untuknya membersihkan nama selepas berdepan dengan pertuduhan berkenaan.
Ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi tadi, Naim berkata beliau mahu fokus pada kesejahteraan dirinya.
“Saya baru sahaja didakwa untuk satu tuduhan berat dan saya faham semua ada persoalan, banyak tanda tanya dan mengejutkan setengah pihak juga.
“Buat masa sekarang, saya belum bercadang mengulas panjang mengenai perkara ini kerana masih dari peringkat awal. Saya juga tidak ingin ada sebarang campur aduk yang mungkin boleh mengganggu perbicaraan nanti.
“Saya serahkan semua kepada sistem keadilan dan saya komited memberi kerjasama penuh untuk membersihkan nama. Saya harap dapat doa daripada semua orang. Saya mahu fokus pada ‘well being’ saya sahaja,” katanya.
Ketika ditemui di perkarangan mahkamah, Amirul memberitahu pihak media, mahkamah membenarkan Naim diikat jamin RM12,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 18 Ogos untuk sebutan semula kes.