Teka-Teki Terjawab, Naim Daniel Bakal Berdepan Pertuduhan Amang Seksual

KUALA LUMPUR: Spekulasi membabitkan seorang artis dikaitkan dengan jenayah amang seksual terjawab apabila Naim Daniel tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya jam 8.30 pagi bagi mendengar tuduhan terhadap dirinya.

Penyanyi dan pelakon itu dijangka berhadapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki kereta Mercedes berwarna putih, memakai sut berwarna hitam dan ditemani ibunya, Nora Taherah.

Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya telah menerima arahan pertuduhan daripada Pejabat Pendakwa Raya Selangor selepas siasatan dilengkapkan.

Hussein turut dipetik berkata, remaja perempuan itu dipercayai adalah peminat selebriti lelaki berkenaan.

Artis terbabit disiasat susulan polis menerima laporan daripada ibu remaja itu pada 3 Jun lalu, mendakwa bahawa anak perempuannya menjadi mangsa gangguan seksual selepas mengenali suspek di sebuah kafe tempat gadis terbabit bekerja.

Media sebelum ini juga melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di Petaling Jaya selepas suspek mengajak remaja itu berjumpa.

BBerkaitan

Latest articles