Mengaku Salah Liwat, Amang Seksual Budak, Ustaz Kena Penjara, Sebat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Seremban pada semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan terhadap seorang warden pusat pengajian al-Quran kerana meliwat dua kanak-kanak dan melakukan amang seksual ke atas seorang lagi, antara Disember 2023 hingga Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Khairi Fitri Baharom, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Bahkan tertuduh turut menangis teresak-esak di hadapan hakim selepas mengakui kesalahannya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh meliwat dua kanak-kanak masing-masing berusia 13 tahun empat bulan dan 10 tahun tujuh bulan serta melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun empat bulan.

Perbuatan itu dilakukan dari Disember 2023 hingga Januari lalu di pusat pengajian berkenaan di Batu Kikir, Jempol.

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai memberi pengajaran dan pengakuan bersalah tertuduh bukan faktor peringanan hukuman.

“Dalam kes ini tertuduh seorang guru (warden) yang bertanggungjawab menjaga dan pastikan keselamatan kanak-kanak, tetapi tertuduh telah menyalahguna kuasanya dengan melakukan kesalahan seksual.

“Mohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh dan mahkamah perlu melihat kepentingan awam melebihi daripada kepentingan tertuduh,” katanya menurut Harian Metro.

Surita memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap dan menjalani sesi kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.

Dalam pada itu, Khairi mengaku tidak bersalah atas enam lagi pertuduhan liwat dan enam pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu terhadap tujuh kanak-kanak berusia dari lapan hingga 12 tahun sembilan bulan (ketika kejadian).

Perbuatan itu dilakukan di pusat pengajian sama dan di sebuah rumah beralamat di Kampung Rambang Panas, Juasseh, Kuala Pilah dari Mac 2024 hingga Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta 792 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Tiada jaminan dibenarkan dan sebutan semula bagi lantikan peguam serta serahan dokumen pada 14 Julai.

BBerkaitan

Latest articles