Pelarasan SST Dilihat Langkah Bertanggungjawab Perkukuh Kedudukan Fiskal Negara

KUALA LUMPUR, — Pelaksanaan dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan dilihat sebagai satu pendekatan fiskal yang lebih bertanggungjawab, bukan sahaja bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara, malah bagi memastikan hasil negara diagihkan semula kepada rakyat secara bersasar dan adil.

Selaras dengan prinsip Reformasi Fiskal MADANI, kerajaan menegaskan bahawa barangan keperluan asas seperti makanan asas, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan akan kekal bebas cukai. Langkah ini memastikan sebahagian besar rakyat Malaysia tidak terbeban secara langsung dan kekal menikmati harga yang stabil untuk keperluan harian.

Lebih penting, kutipan hasil melalui SST akan disalurkan terus kepada rakyat melalui program bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), SARA, bantuan awal persekolahan dan pembangunan infrastruktur awam. Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, pendekatan ini bukan sekadar kutipan cukai, tetapi satu bentuk pelaburan semula hasil negara untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

MENYOKONG INDUSTRI PKS

Dalam menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerajaan memberikan kelonggaran kepada pemain industri untuk menyesuaikan diri.

Pelaksanaan penuh SST hanya akan dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang hujung tahun 2025, tanpa sebarang denda atau penalti dalam tempoh penyesuaian ini. Selain itu, pengecualian cukai juga diberikan kepada sektor-sektor tertentu untuk mengelakkan pertindihan beban yang boleh menjejaskan operasi perniagaan.

Pendekatan cukai ini turut mengambil kira prinsip keadilan sosial. SST tidak dikenakan secara menyeluruh ke atas semua lapisan masyarakat. Sebaliknya, hanya barangan dan perkhidmatan mewah seperti langganan eksklusif, perkhidmatan spa, dan insurans premium yang dikenakan cukai.

Ini bermaksud mereka yang mempunyai kemampuan kewangan lebih tinggi akan menyumbang lebih kepada pembangunan negara – sejajar dengan prinsip cukai progresif.

Langkah ini juga dilihat sebagai strategi jangka panjang yang mampan bagi meningkatkan pendapatan negara tanpa menambah beban hutang.

Sementara itu, Institut Cukai Malaysia dalam kenyataan hari ini menyifatkan peluasan SST sebagai pendekatan penting untuk mengekalkan disiplin fiskal negara, khususnya dalam konteks ketidaktentuan global dan keperluan membina ketahanan ekonomi negara. Dengan struktur hasil yang lebih mampan, Malaysia mampu membelanjakan secara lebih bertanggungjawab demi kepentingan generasi akan datang.

Namun bagi  Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), mereka mencadangkan agar ambang pengecualian PMKS dinaikkan kepada RM2 juta untuk memberi ruang lebih selesa kepada perniagaan kecil.

Presidennya William Ng, berkata perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) masih mengharungi persekitaran operasi mencabar, termasuk kos input tinggi, perbelanjaan pengguna yang semakin merosot, dan permintaan luar yang semakin lemah.

Katanya, tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat yang diberhentikan sebentar akan diteruskan pada 9 Julai, dan ini akan melemahkan daya saing eksport Malaysia terutamanya dalam kalangan PMKS.

Samenta menyokong pembangunan rangka kerja cukai yang adil progresif dan telus, namun perkara ini mesti dilaksanakan secara berperingkat dengan rundingan yang tulen bersama pihak berkepentingan dan sejajar dengan realiti ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan.

KADAR CJ BAHARU 

Hari ini, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan berkata Barangan keperluan kekal tidak dikenakan cukai jualan dengan kadar cukai itu dinaikkan kepada 5% bagi barangan pilihan tertentu antaranya buah-buahan import dan jentera industri.

Dengan cukai perkhidmatan akan diperluas pada 1 Julai melibatkan sewaan dan pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan, dan kecantikan.

“Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST (cukai jualan dan perkhidmatan), kerajaan Madani mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.

“Kerajaan Madani mengambil langkah untuk tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan keperluan asas harian supaya tidak memberi kesan secara langsung kepada kos sara hidup majoriti rakyat dan kadar inflasi kekal terkawal,” Katanya

Menurut lampiran yang disertakan dalam kenyataan itu, di bawah semakan kadar CJ,barangan keperluan asas harian berkadar CJ sifar peratus yang dikekalkan adalah seperti ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan, beras, barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan.

CJ sifar peratus juga dikekalkan bagi bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan.

“Kerajaan MADANI mengambil langkah untuk tidak mengenakan CJ ke atas barangan keperluan asas harian supaya tidak memberi kesan secara langsung kepada kos sara hidup majoriti rakyat dan kadar inflasi kekal terkawal,” katanya.

Semakan semula CJ melibatkan barangan pilihan tertentu telah dinaikkan daripada kadar CJ sifar peratus kepada CJ lima peratus seperti king crab (ketam besar), salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri.

Menurut lampiran itu, beberapa barangan pilihan premium telah dinaikkan kepada CJ 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.

Di bawah peluasan skop CP pula, skop CP sedia ada akan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

BBerkaitan

Latest articles