Jamal Yunos Disahkan Bebas Kanser Selepas Lima Bulan Bertarung Nyawa

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan beliau kini bebas sepenuhnya daripada penyakit kanser selepas menjalani rawatan intensif selama hampir lima bulan.

Menurut laporan Sinar Harian, Jamal memaklumkan bahawa sel kanser yang sebelum ini menyerang paru-paru dan merebak ke otak serta bahagian tubuh lain, kini tidak lagi dikesan oleh pihak perubatan.

“Setelah bertarung selama empat ke lima bulan dengan kanser tahap akhir, akhirnya doktor pakar mengesahkan kanser telah hilang daripada badan saya,” katanya kepada media.

Jamal turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah mendoakan kesihatannya sepanjang tempoh rawatan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan saya,” tambahnya.

Pada Mac lalu, keadaan kesihatan Jamal dilaporkan semakin merosot selepas doktor mengesahkan sel kanser di paru-parunya telah merebak ke otak.

Beliau menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Ampang selepas mengalami simptom awal seperti sakit di leher dan kepala ketika sedang memasak di rumah.

Keadaan kesihatan beliau dilaporkan mula merosot sejak September 2022, apabila beliau mengalami kelemahan fizikal yang ketara serta penurunan berat badan mendadak.

Kini selepas rawatan intensif dan pemantauan berterusan, Jamal berjaya melalui tempoh sukar itu dan disahkan pulih sepenuhnya daripada penyakit tersebut.

BBerkaitan

Latest articles