Atuk Raba Kemaluan, Payudara Remaja Usia 14 Tahun

AYER KEROH: Seorang lelaki berusia 70 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun, dua tahun lalu.

Warga emas yang juga pesakit jantung itu terlebih dahulu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh, Jaafar Taib, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut pertuduhan, pesara itu didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun dengan cara meraba kemaluan dan payudaranya bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Klebang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang awal Februari 2023.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan jaminan namun menawarkan RM20,000 berserta syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Peguam Kent Tan yang mewakili bapa kepada lima anak itu bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mengidap sakit jantung dan darah tinggi.

Hakim Haderiah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah, melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes akan disebut pada 16 Julai untuk serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles