Tiada Pendedahan Data Peribadi Pengguna – Fahmi Jelaskan Isu Arahan Kepada Telco

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa syarikat telekomunikasi (telco) tidak akan mendedahkan data peribadi pengguna kepada mana-mana pihak, susulan kebimbangan yang dibangkitkan berhubung arahan kerajaan kepada syarikat-syarikat telco berkaitan pengumpulan data.

Menurut Fahmi, arahan yang dikeluarkan Kabinet itu hanya melibatkan pengumpulan maklumat umum berkaitan mutu perkhidmatan, bilangan pengguna, serta tahap liputan di sesuatu kawasan, dan bukan maklumat peribadi individu seperti rekod panggilan atau lokasi GPS.

“Arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan data adalah untuk tujuan pengetahuan statistik rasmi, bukan untuk akses data peribadi pengguna. SKMM ambil maklum dan kawal selia perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Perpaduan UMNO Lembah Pantai 2025, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Nooryana Najwa, anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Fahmi menjelaskan lagi bahawa data yang dikumpulkan akan digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi merangka dasar yang lebih tepat dan berasaskan bukti untuk industri telekomunikasi.

“DOSM boleh menyediakan laporan yang lebih tepat, dan MCMC boleh menggubal dasar berdasarkan bukti sebenar – seperti tahap penggunaan 4G, 5G, dan jalur lebar. Ia fokus kepada keperluan rangkaian, bukan data peribadi,” katanya.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan bahawa kerajaan mengarahkan semua telco menyerahkan data penuh pengguna termasuk rekod panggilan, penggunaan internet dan lokasi GPS.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu pelanggaran prinsip privasi dan membuka ruang kepada potensi penyalahgunaan data rakyat.

Menjawab kebimbangan itu, Fahmi menegaskan bahawa semua data yang dikumpul adalah bersifat agregat dan tidak melibatkan identiti atau privasi pengguna.

BBerkaitan

Latest articles