Ku Nan Seru Pertahan Perjuangan Parti, UMNO Bukan Batu Loncatan

KUALA LUMPUR: Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO bukan platform peribadi atau batu loncatan untuk kepentingan individu, sebaliknya parti itu wujud atas dasar perjuangan tulen demi agama, bangsa dan negara.

Mengulas tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang keluar parti untuk menyertai PKR, Tengku Adnan berkata, UMNO tidak pernah memaksa sesiapa untuk kekal bersama parti.

“Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi roh perjuangan UMNO mesti terus dipertahankan oleh ahlinya. Apa yang penting sekarang adalah menyatukan semula kekuatan, memperkukuh jentera dan membina keyakinan rakyat terhadap parti,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Jelasnya, ahli UMNO yang setia perlu kekal istiqamah dan tidak terpengaruh dengan gelombang populariti atau kepentingan semasa.

“UMNO bukan parti individu. Ia dibina atas semangat penyatuan dan perjuangan membela umat serta mempertahankan maruah negara,” ujarnya.

Tambah beliau, prinsip “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” harus terus menjadi pegangan semua ahli dalam memastikan parti kekal relevan dan dihormati.

Pada 31 Mei lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO termasuk sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), langkah yang disahkan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

BBerkaitan

Latest articles