MELAKA: Seorang ejen insurans wanita direman dua hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh bermula semalam selepas disyaki mengugut dan menyebarkan gambar bogel madunya yang juga seorang guru wanita dalam kejadian yang berlaku Mac lalu.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Asyikin Rosli bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 dan 509 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah dan penghinaan terhadap kehormatan.
Suspek berusia 53 tahun itu, yang juga ibu kepada empat anak, ditahan kira-kira jam 10.15 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh sepasukan polis selepas dikesan sebagai individu dikehendaki dalam siasatan tersebut.
Menurut sumber, mangsa yang merupakan seorang guru berusia 47 tahun terkejut apabila bapanya di Klebang menerima sepucuk surat mengandungi gambar bogel dirinya dan suami, dipercayai dihantar oleh suspek.
“Bimbang gambar tersebut tersebar dan tidak tahan dengan gangguan berterusan terhadap keluarganya, mangsa tampil membuat laporan polis pada 27 Mac lalu,” katanya.
Sementara itu, peguam suspek, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, berkata pihaknya membantah permohonan reman empat hari yang dikemukakan pihak polis, dan mahkamah kemudiannya memutuskan untuk membenarkan reman selama dua hari sahaja.
Kes ini kini dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.