Perbicaraan Revenue Group – Saksi Sahkan Pelupusan Aset Bernilai kurang dari 25 Peratus Nilai Aset Syarikat Tidak Perlu Resolusi Syarikat

KUALA LUMPUR,— Seorang saksi dalam perbicaraan kes melibatkan dua bekas pengarah Revenue Group Berhad hari ini mengesahkan bahawa pembelian atau pelupusan aset syarikat bernilai kurang daripada 25 peratus daripada jumlah nilai aset syarikat tidak memerlukan kelulusan atau resolusi daripada pemegang saham.

Heng Chiang Pooh, saksi utama dalam kes itu, menyatakan bahawa tindakan sedemikian tidak melanggar mana-mana peruntukan di bawah Akta Syarikat 1965 (pindaan 2016), ketika menjawab soalan peguam bela, Amer Hamzah Arshad.

Menurut Heng, hanya pelupusan atau pembelian aset yang mencapai ambang melebihi 25 peratus daripada jumlah aset, keuntungan bersih atau modal berbayar syarikat, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 132C Akta Syarikat, memerlukan satu resolusi untuk memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah bertindak.

“Bagi pembelian atau pelupusan di bawah 25 peratus, tiada keperluan undang-undang untuk mendapatkan resolusi pemegang saham,” jelas Heng, sambil menambah bahawa adalah amalan biasa untuk transaksi seperti itu didaftarkan oleh pengarah yang berkaitan sahaja.

Perbicaraan dijalankan di hadapan barisan pendakwa raya terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Siti Amirah Muhammad Ali dan Mohd Syahzada Azad Sanusi. Pihak pembelaan pula diketuai oleh Amer Hamzah Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dua beradik iaitu Ng Shih Chiow dan Ng Shih Fang yang merupakan pengarah syarikat didakwa bersubahat menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad melupuskan aset syarikat — sebuah Toyota Vellfire — tanpa resolusi lembaga pengarah.

Pelupusan itu didakwa berlaku pada 3 Oktober 2018, apabila kenderaan tersebut didaftarkan atas nama Shih Fang di Jabatan Pengangkutan Jalan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kedua-dua tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun, denda, serta sebatan jika disabit kesalahan.

Perbicaraan disambung esok.

BBerkaitan

Latest articles