NFCorp Tuntut Sehingga RM560 Juta, Dakwa Public Bank Bocor Maklumat Akaun

KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat entiti berkaitan menuntut sehingga RM560 juta daripada Public Bank Bhd. atas dakwaan pelanggaran kontrak dan pembocoran maklumat sulit akaun bank mereka pada 2012.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa anak guamnya menuntut RM60 juta sebagai ganti rugi am dan RM250 juta masing-masing sebagai ganti rugi teladan dan teruk.

Beliau menyifatkan perbuatan bank itu sebagai “tidak dapat dibayangkan” dan mendakwa pendedahan maklumat kepada pemimpin pembangkang ketika itu menyebabkan ladang ditutup dan projek ternakan gagal, hingga memaksa syarikat menanggung hutang RM250 juta kepada kerajaan.

Peguam Public Bank, Chan Kok Keong bagaimanapun mempersoalkan asas tuntutan tersebut yang didakwa berdasarkan unjuran kewangan lama dan tidak sah.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim menetapkan 18 Jun ini untuk membuat keputusan berhubung jumlah ganti rugi.

Mahkamah turut menolak rayuan akhir Public Bank, mengenepikan keputusan terdahulu yang hanya memberikan ganti rugi nominal RM10,000 kepada NFCorp, memberikan hak kepada NFCorp untuk menuntut ganti rugi teladan dan teruk dan mengarahkan Public Bank membayar kos RM300,000 kepada plaintif.

Saman asal difailkan pada 2012 oleh NFCorp, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikatnya, selepas maklumat akaun mereka didakwa digunakan oleh Naib Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, untuk mendedahkan pembelian hartanah menggunakan pinjaman kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles