KUALA LUMPUR: Himpunan Melayu Berdaulat yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo semalam dilihat berjaya menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu mengenai pentingnya mempertahankan kuasa dan maruah bangsa demi menjamin kedaulatan di tanah air sendiri.
Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa berkata, perhimpunan itu menunjukkan betapa perlunya tindakan segera dan berani daripada semua pihak bagi mengekang usaha pihak-pihak tertentu yang didakwa cuba menggugat kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
“Semalam, kita menyaksikan satu kesepakatan yang cukup penting, pemimpin Melayu bersatu hati menyedari bahawa kita mesti berdiri bersama menghadapi musuh yang satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa terdapat pihak yang cuba memecah-belahkan orang Melayu, mempersendakan Islam serta mempertikai hak istimewa Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Isu pembangunan semula bandar melalui Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (RUU URA) turut disentuh, yang menurut beliau berpotensi meminggirkan masyarakat Melayu di kawasan bandar.
Lebih membimbangkan, kata Mohd Zai, apabila terdapat tindakan berani mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong di mahkamah berhubung titah adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu turut menyuarakan bantahan terhadap RUU URA serta menyeru penyatuan ummah sebagai langkah mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia.
Mohd Zai menyeru agar semua pemimpin Melayu tanpa mengira latar belakang politik, NGO mahupun individu supaya bersatu di bawah satu wadah besar demi masa depan bangsa.
“Pemimpin Melayu wajib menjadi contoh dan menunjukkan iltizam dalam membawa penyatuan yang kukuh. Sudah tiba masanya segala perbezaan diketepikan demi matlamat lebih besar iaitu perpaduan Melayu dan ummah,” tegasnya.
Beliau turut menggesa agar agenda penyatuan ini dilihat sebagai kunci utama dalam mempertahankan perpaduan nasional yang telah lama terbina di negara ini.