Nurul Izzah Seru PKR Bersatu, Fokus Reformasi, PRN Sabah Medan Ujian

KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden PKR yang baharu, Nurul Izzah Anwar menggesa seluruh ahli dan kepimpinan parti untuk segera merapatkan saf dan bergerak sebagai satu pasukan, menyatakan bahawa perjuangan reformasi kini memerlukan kesatuan, prinsip dan keberanian moral, bukan sekadar slogan.

Dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan 2025 di Persada International Convention Centre, Johor Bahru pagi ini, Nurul Izzah menekankan bahawa selepas berakhirnya pemilihan parti, sudah tiba masanya untuk semua kembali memfokuskan tenaga kepada rakyat, bukan kepada perpecahan dalaman.

“Pahit macam mana sekalipun, kita kena berlapang dada. Yang menang kena pastikan mereka juga merangkul yang tidak menang,” katanya sambil disambut tepukan para perwakilan.

Mengangkat pesanan tokoh-tokoh seperti Umar Abdul Aziz, Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela, Nurul Izzah menyeru agar PKR tidak melupakan asas perjuangannya iaitu politik berteraskan prinsip, integriti dan kebajikan rakyat.

“Kita bukan lagi parti pembangkang. Kita kerajaan. Maka tindakan kita harus mencerminkan nilai ketamadunan dan tanggungjawab,” tegas beliau.

Dalam nada tegas, beliau juga memberi amaran agar tiada kompromi terhadap sebarang bentuk salah laku dalam parti.

“Kalau ada rekod pecah amanah atau salah laku, jangan kompromi. Ini demi kelangsungan parti,” katanya dengan nada serius.

Nurul Izzah turut menyentuh isu kelemahan komunikasi dan persepsi rakyat terhadap kerajaan Madani yang diterajui oleh PKR.

“Kita tak boleh terus defensif. Kita kena lebih faham bagaimana rakyat menilai kita di luar sana. Dasar kerajaan perlu diterangkan dalam bahasa rakyat, bukan jargon,” jelasnya, menggesa perubahan pendekatan komunikasi dalam kalangan jentera parti.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang, Nurul Izzah menetapkan satu sasaran berani iaitu menawan sekurang-kurangnya 13 kerusi di negeri berkenaan.

Beliau turut menyeru negeri-negeri kuat seperti Selangor dan Pulau Pinang untuk turun membantu memperkukuh jentera di Sabah.

“Sebelum saya menunaikan ibadah haji tak lama lagi, saya minta semua bantu gerakan kita di Sabah. Ini tugas bersama,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles