KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, meskipun menerima pelbagai teguran termasuk daripada pembangkang.
Berucap ketika merasmikan Kongres Nasional PKR 2025 di Persada Johor malam tadi, Anwar berkata SPRM di bawah kepimpinan Azam telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani rasuah berskala besar.
“Saya tidak nafikan teguran, tetapi SPRM di bawah Azam telah bertindak terhadap individu kaya raya termasuk tokoh-tokoh bergelar Tan Sri, Tun dan Datuk Seri,” katanya.
Menurut Anwar, inilah kali pertama dalam sejarah beliau melihat SPRM berani menyiasat dan menggeledah ‘tauke-tauke besar’ yang memiliki kekayaan berbilion ringgit.
“Saya boleh lantik orang lain, tapi saya tidak yakin mereka cukup berani untuk sentuh golongan elit ini,” tambah beliau.
Anwar juga menyatakan kekecewaan terhadap pengkritik yang lantang menegur pelantikan semula Azam, tetapi tidak menyokong secara terbuka tindakan SPRM terhadap kes-kes berprofil tinggi.
“Bila SPRM bertindak, mereka diam. Bila kita buat keputusan, dikata berdendam. Ini tidak adil,” tegasnya.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara mengumumkan Azam Baki akan kekal menerajui SPRM selama setahun lagi, bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.