KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan video fitnah berhubung projek MyKiosk@KPKT di media sosial, termasuk membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah diarahkan untuk mengesan individu atau TikToker yang terlibat dalam penularan video berunsur fitnah itu, khususnya membabitkan dakwaan kononnya projek berkenaan mengandungi unsur kronisme dan salah guna peruntukan.
“Kita akan buat laporan kepada SKMM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam masa terdekat. Saya juga akan jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) datang ke pejabat untuk ‘minum teh’, ini bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKEMDIA) KPKT 2025, di sini.
Mengulas dakwaan kononnya kontraktor MyKiosk merupakan kroni beliau, Kor Ming menegaskan bahawa semua proses tender dan pelaksanaan projek dikendalikan sepenuhnya oleh 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
“PBT yang memohon, mereka kenal pasti lokasi strategik, dan mereka juga yang melaksanakan tender terbuka, khusus untuk kontraktor bumiputera.
Tegasnya KPKT tidak terlibat langsung dalam pemilihan kontraktor.
“Sebanyak 795 kontraktor telah dilantik secara terbuka, mana logiknya semua ini adalah kroni saya?” tegasnya.
Kor Ming turut menafikan dakwaan liar kononnya KPKT menerima peruntukan RM250 juta untuk projek berkenaan.
Menurutnya, bagi MyKiosk Fasa 1.0, sebanyak RM50 juta diperuntukkan, manakala MyKiosk 2.0 menerima RM100 juta – kesemuanya disalurkan terus kepada PBT untuk pelaksanaan.
“Untuk pengisian, MyKiosk 1.0 telah menyediakan 2,798 unit kiosk (87.74%) manakala MyKiosk 2.0 merekodkan 2,653 unit (65.44%). Negeri paling tinggi penerima ialah Johor dengan 1,185 unit kiosk,” tambah beliau.
KPKT menegaskan bahawa projek MyKiosk bukan sahaja membantu penjaja kecil mendapat tempat yang lebih selesa dan strategik, malah merancakkan ekonomi mikro tempatan.
Pihak kementerian akan terus menyasarkan penyampaian maklumat yang telus dan memerangi penyebaran maklumat palsu secara agresif.