KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah baharu dalam sektor pertahanan dengan penciptaan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle – HMLTV) pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF).
Pelancaran bersejarah itu berlangsung sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025), dan menyaksikan Malaysia bukan sahaja berdiri sebagai pengguna teknologi pertahanan, malah kini muncul sebagai pencipta sistem taktikal berteknologi tinggi yang diiktiraf di peringkat serantau dan antarabangsa.
RIBAT secara rasminya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini.
Menariknya, nama “RIBAT” dipilih sendiri oleh Perdana Menteri, membawa makna simbolik tinggi yang mencerminkan semangat mempertahankan tanah air berteraskan iman, patriotisme dan teknologi moden.
Menurut Pengarah Urusan MILDEF, Dato’ Sri Mohd Nizam Kasa, pelancaran RIBAT membuktikan kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasa ekosistem pertahanan negara yang berdikari.
“RIBAT adalah hasil inovasi anak tempatan. Ini membuktikan Malaysia bukan sekadar pengguna, tetapi kini pencipta teknologi strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti global,” katanya.
Dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera tempatan menggunakan fasiliti di Seremban dan Sepang, RIBAT direka khas untuk misi rondaan, pengiring konvoi dan operasi khas.
Ia dilengkapi dengan sistem perlindungan balistik modular, menjadikannya sesuai untuk pelbagai senario taktikal.
MILDEF turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pertahanan utama Indonesia, PT PINDAD, yang membuka laluan kepada peluang eksport, pemindahan teknologi dan integrasi sistem pertahanan antara dua negara jiran.
Dalam majlis sama, MILDEF juga menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) di bawah Kementerian Pertahanan, bagi membangunkan dua lagi platform kenderaan taktikal baharu yang juga akan direka bentuk sepenuhnya di Malaysia.
“Kerjasama dengan STRIDE adalah langkah strategik untuk menjadikan Malaysia hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan di rantau ini,” ujar Nizam.
Sebagai tambahan kepada pelancaran RIBAT, MILDEF dijangka menandatangani kontrak pembekalan 136 unit kenderaan Tarantula kepada Tentera Darat Diraja Malaysia.
Kontrak ini bakal menjadi satu lagi bukti kepercayaan kerajaan terhadap keupayaan syarikat tempatan dalam merealisasikan projek berskala besar mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan.