Tuduh Najib Amal ‘Cash is King’, Tapi Kerajaan Selepas Itu Laku Perkara Sama

KUALA LUMPUR: Pengendali laman Facebook rasmi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini menyelar kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempertikai pemberian bantuan tunai kepada rakyat sebagai taktik meraih sokongan, sambil menyifatkan kritikan itu sebagai hipokrit dan tidak konsisten.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik hari ini, pengendali akaun berkenaan menegaskan bahawa inisiatif bantuan tunai yang diperkenalkan semasa era pentadbiran Najib melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah satu bentuk sogokan politik, sebaliknya satu dasar pengagihan semula kekayaan negara secara langsung kepada golongan memerlukan.

“Ironinya, selepas kutuk BR1M sebagai ‘dedak’ dan ‘cash is king’, kerajaan-kerajaan selepas Najib – termasuk zaman Tun M sendiri semasa Pakatan Harapan (PH) 1.0 – teruskan juga bentuk bantuan tunai ini. Cuma tukar nama,” katanya.

Antara nama baharu yang diberikan kepada bantuan tersebut selepas era Najib termasuklah Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan kini dikenali sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Menurut kenyataan itu lagi, meskipun pelbagai jenama baharu diperkenalkan, ramai rakyat masih menyebut bantuan tunai kerajaan itu sebagai BR1M kerana pendekatannya yang langsung dan terus kepada rakyat.

“Najib dituduh beri wang kepada rakyat untuk raih sokongan, tapi pemimpin yang tuduh itu pun buat benda sama. Bezanya cuma branding,” tulis hantaran tersebut.

Kenyataan itu dipercayai sebagai respons terhadap komentar Dr. Mahathir semalam yang mendakwa Najib akan kembali mengamalkan pendekatan cash is king sekiranya diberi peluang menjadi Perdana Menteri semula, termasuk memberi wang kepada rakyat untuk meraih sokongan.

Hantaran Facebook itu turut mempertahankan BR1M sebagai dasar yang telus dan efisien dalam membantu golongan B40 dan M40 tanpa diskriminasi.

“BR1M tidak perlu tunggu projek mega siap bertahun-tahun. Ia terus sampai ke tangan ibu tunggal, nelayan, pekebun kecil, dan peniaga pasar malam dan ia bantu naikkan ekonomi tempatan, terutama di luar bandar.”

Tambah kenyataan itu, pengurusan ekonomi ketika era Najib dianggap kukuh apabila jumlah bantuan BR1M serta bilangan penerimanya meningkat hampir empat kali ganda dalam tempoh enam tahun daripada RM500 pada 2012 kepada RM2,000 pada 2018.

Pada masa yang sama, defisit fiskal kerajaan didakwa berjaya diturunkan selama lapan tahun berturut-turut tanpa perlu menaikkan cukai atau memperkenalkan pelbagai cukai baharu.

“Maknanya, kerajaan ketika itu bukan sahaja mampu beri bantuan lebih besar kepada lebih ramai rakyat, malah lakukan semua itu tanpa merosakkan kewangan negara,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles