KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa video muzik kontroversinya, Kelepok Raya, yang diterbitkan pada 2022 bertujuan mempromosikan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di mana-mana platform media sosial miliknya.
Aliff, 38, memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Sepang dalam prosiding bela diri terhadap empat pertuduhan berkaitan kandungan video sumbang yang dimuat naik ke Instagram miliknya.
“Saya tidak mungkin akan mempromosikan LGBT kerana saya sudah berkahwin dan mempunyai enam anak. Saya juga baru menerima Anugerah Khas Ikon Belia Wilayah Persekutuan dan telah menjadi pembayar zakat tertinggi di Selangor selama hampir 10 tahun,” katanya ketika disoal oleh peguamnya, Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Menurut Aliff, idea video tersebut diilhamkan daripada dua video muzik tempatan milik Hael Husaini dan Elizabeth Tan.
Beliau juga menegaskan bahawa semua penari yang terlibat merupakan penari profesional yang diupah dan diberi kebebasan dalam soal pemakaian, solekan, dan gaya tarian.
“Saya tidak lantik mana-mana koreografer. Saya hanya minta mereka menari secara freestyle, mengikut kreativiti sendiri,” jelasnya.
Dalam keterangannya, Aliff turut mendakwa bahawa beliau tidak memuat naik empat klip video muzik Kelepok Raya yang dipersoalkan ke Instagram @aliffsyukriterlajaklaris, sebaliknya percaya pembantunya yang berbuat demikian.
“Saya tidak pernah arahkan mana-mana pekerja saya untuk memuat naik mana-mana bahagian daripada video muzik tersebut kerana ia belum melalui proses suntingan dan belum diluluskan oleh saya,” tambahnya.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang yang didakwa berniat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 22 Mei ini untuk pemeriksaan balas oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).