Hukuman Lelaki Pandu Navara Dinaikkan Kepada 6 Bulan Penjara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menaikkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan pasangan suami isteri cedera parah, daripada 30 hari kepada enam bulan penjara, sebagai peringata bahawa keselamatan pengguna jalan raya bukan perkara remeh.

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap hukuman asal yang dijatuhkan Mahkamah Majistret terhadap tertuduh, K. Dharmaraju, 32, seorang jurujual alat ganti kenderaan.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman denda RM12,000 serta penggantungan lesen memandu selama lima tahun ke atas tertuduh.

Kes ini menarik perhatian ramai selepas kejadian pada 10 Mei lalu tular di media sosial.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam), sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dilihat melanggar sebuah motosikal dinaiki pasangan suami isteri di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta, sebelum melarikan diri tanpa memberikan sebarang bantuan.

Akibat pelanggaran itu, wanita yang membonceng motosikal mengalami pendarahan otak, patah buku lali, dan tulang rusuk, manakala suaminya mengalami retak tulang selangka dan luka pada kaki.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, menyifatkan hukuman 30 hari penjara yang dikenakan sebelum ini sebagai terlalu ringan berbanding kesan sepanjang hayat yang perlu ditanggung oleh mangsa.

“Mangsa akan hidup dalam keadaan cacat seumur hidup, sedangkan tertuduh hanya dipenjara sebulan. Ia tidak setimpal,” katanya.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, S. Vinesh dan T. Daneish, memohon agar hukuman Mahkamah Majistret dikekalkan, namun rayuan mereka ditolak.

Siasatan mendapati tertuduh memandu secara melulu dan memotong secara berbahaya di lorong kiri lebuh raya sebelum merempuh motosikal mangsa sekitar jam 2.30 petang.

Dia kemudian meninggalkan tempat kejadian tanpa menghulurkan bantuan.

Dharmaraju sebelum ini mengaku bersalah dan dihukum penjara 30 hari serta denda RM12,000 pada 14 Mei lalu oleh Mahkamah Majistret.

Mengikut Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, kesalahan memandu secara melulu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda RM5,000 hingga RM15,000, serta penggantungan lesen memandu minimum lima tahun.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu disambut lega oleh keluarga mangsa dan dilihat sebagai peringatan tegas kepada semua pemandu bahawa tindakan cuai dan tidak bertanggungjawab di jalan raya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles