Zahid: Tiada Kumpulan Bung atau Rahman, Hanya Satu Pasukan BN Sabah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN Sabah bergerak sebagai satu pasukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sekaligus menafikan wujudnya sebarang kumpulan dalaman yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin utama parti itu.

Menurut Zahid, yang juga Presiden UMNO, perpecahan dalam kalangan pemimpin BN hanya akan melemahkan kekuatan parti, seperti yang terbukti dalam dua pilihan raya terdahulu.

“Tiada kumpulan Bung Moktar, tiada kumpulan Abdul Rahman, tiada kumpulan Salleh Said, tiada kumpulan Yakubah Khan, hanya ada kumpulan BN Sabah,” katanya dalam satu majlis bersama pemimpin akar umbi, malam tadi.

Zahid turut memberi penegasan bahawa pertelagahan antara pemimpin hanya membawa padah kepada rakyat.

“Kita sudah kecundang dua kali kerana sibuk melayani perbezaan kita. Masing-masing ada ego, dan akibatnya rakyat yang menanggung, gajah sama gajah bertarung, kancil di tengah yang mati,” katanya.

Kenyataan Zahid dipercayai merujuk kepada ketegangan terbuka sebelum ini antara Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Antara insiden yang mencetuskan persepsi wujudnya kem BN berbeza ialah teguran Bung terhadap tindakan Rahman menjemput Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor ke majlis perasmian mesyuarat UMNO Tuaran tahun lalu.

Bung menyifatkan jemputan itu sebagai “tidak tepat” kerana majlis tersebut sepatutnya menjadi platform untuk Presiden UMNO menyampaikan amanat tanpa campur tangan pihak luar.

Namun Rahman mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan ia selaras dengan semangat kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, dan menyatakan UMNO Tuaran mempunyai hak menentukan jemputan mereka sendiri.

Ketegangan turut didakwa berlaku pada Mac lalu, apabila Bung Moktar secara terbuka menyatakan kesediaan mencalonkan Abdul Rahman untuk kerusi DUN Sulaman, yang kini disandang Hajiji.

Namun sehari selepas itu, Rahman menegaskan bahawa keputusan mengenai calon dan kerusi dalam PRN harus dibuat secara kolektif, bukan secara individu.

“Autonomi bukan bermakna satu orang saja membuat keputusan. Kalau seorang saja siok-siok buat keputusan, itu bukan autonomi, itu autokrasi,” tegasnya ketika itu.

Dalam ucapannya, Zahid menyeru semua pemimpin BN Sabah untuk meletakkan kepentingan parti dan rakyat di hadapan, dan mempersiapkan jentera secara bersama demi kemenangan dalam PRN akan datang.

“Perlu ada semangat setiakawan, hormat-menghormati dan hala tuju bersama. Kita tidak boleh ulang kesilapan lama,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles