Pindaan Akta Penjara Bagi Tahanan Rumah Akan Dibentang Julai Ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal membentangkan pindaan kepada Akta Penjara 1995 di Parlimen yang turut melibatkan penggubalan akta baharu berkaitan pelaksanaan tahanan rumah sebagai pendekatan lebih manusiawi dalam sistem pemulihan dan keadilan jenayah negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, draf pindaan kini dalam semakan akhir oleh Jabatan Peguam Negara, dan dijadual dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Julai dan Oktober tahun ini.

“Kita mahu pastikan tiada salah tanggap. Tahanan rumah bukan untuk semua, tetapi kita sasar mereka yang dalam tahanan reman, khususnya kesalahan bukan berat,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota Lama, semalam.

Menurut Saifuddin, daripada 81,000 orang tahanan di seluruh negara, lebih 27,000 adalah tahanan reman, dan sebahagian besar daripadanya mungkin sesuai untuk program tahanan rumah menggunakan peranti pemantauan elektronik (EMD).

“Kita mahu mereka dapat bersama keluarga sambil menjalani proses undang-undang. Ia bukan sahaja lebih berperikemanusiaan, malah bantu kurangkan kesesakan dalam penjara,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Saifuddin menekankan pendekatan baharu ini memberi penekanan kepada pemulihan dan pembetulan berbanding hukuman semata-mata.

Beliau turut berkongsi statistik yang menunjukkan keberkesanan program berasaskan komuniti.

“Kadar pengulangan jenayah dalam kalangan banduan biasa adalah 12 daripada 100. Tapi bagi peserta program komuniti, hanya 1 daripada 800 yang mengulangi kesalahan.”

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut merancang meminda Akta Perintah Kehadiran Wajib, bagi meluaskan skop hukuman alternatif kepada pesalah yang dikenakan hukuman sehingga 10 tahun penjara, berbanding had semasa iaitu tiga hingga empat tahun.

“Ini semua sebahagian daripada reformasi sistem keadilan jenayah. Kita mahu bina sistem yang adil tetapi juga bersifat membina dan memulihkan,” katanya.

Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

BBerkaitan

Latest articles