Ramasamy Persoal Dua Standard Dalam Proses Pengampunan Diraja Antara Anwar, Najib

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy mencetuskan perdebatan apabila mempersoalkan kewujudan dua pendekatan berbeza dalam proses pengampunan diraja dengan membandingkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 dengan Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara dalam kes SRC International.

Menurut Ramasamy, persoalan ini semakin relevan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) yang hanya mengurangkan hukuman Najib, dan bukannya memberikan pengampunan penuh.

“Jika pengampunan Anwar diberikan tanpa melalui proses FTPB, persoalan serius timbul berhubung konsistensi dan integriti sistem keadilan kita,” tegas Ramasamy menerusi catatan di laman Facebooknya.

Dr. Ramasamy, yang kini Pengerusi Penaja Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), membangkitkan persoalan sama ada pengampunan yang diterima Anwar pada 2018 benar-benar mematuhi prosedur di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, seperti yang ditegaskan oleh kerajaan kini berhubung kes Najib.

Beliau merujuk kepada konsensus politik Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang antara lain menetapkan bahawa jika menang, Anwar akan diberikan pengampunan penuh dan seterusnya menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Adakah pengampunan Anwar juga melalui penilaian FTPB atau semata-mata atas dasar konsensus politik dan budi bicara diraja?” soal beliau.

Ramasamy menegaskan bahawa rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran dan ketelusan di sebalik proses pengampunan, apatah lagi apabila ia membabitkan tokoh-tokoh besar negara dan isu-isu keadilan.

“Proses pengampunan tidak boleh dilihat sebagai bersifat terpilih atau mengikut kepentingan politik. Kemungkinan wujudnya dua laluan berbeza, iaitu satu untuk Anwar, satu lagi untuk Najib – tidak harus diketepikan begitu sahaja,” katanya.

Menurut Ramasamy, hanya Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai tokoh utama dalam pembentukan kerajaan PH pada 2018, boleh menjawab secara tuntas sama ada pengampunan Anwar diproses melalui FTPB atau sebaliknya.

“Selagi persoalan ini tidak dijawab, isu keadilan, ketelusan dan konsistensi dalam sistem perundangan – khususnya berkenaan Perkara 42 Perlembagaan – akan terus membayangi integriti institusi kita,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles