KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendiriannya membawa permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, meskipun dihujani kritikan dari pelbagai pihak.
Dalam wawancara eksklusif bersama Al Jazeera, Anwar berkata beliau tetap akan dikritik tidak kira apa jua tindakan yang diambil, namun memilih untuk kekal berpegang kepada prinsip dan undang-undang.
“Buat pun saya kena kecam, tak buat pun saya kena kecam. Jadi akhirnya, anda lakukan perkara yang betul,” kata Anwar, yang menegaskan bahawa setiap pesalah berhak memohon pengampunan tanpa diskriminasi.
Menurutnya, walaupun beliau merupakan Perdana Menteri, beliau bukan ahli Lembaga Pengampunan dan tidak terlibat dalam membuat keputusan akhir berhubung permohonan tersebut.
“Adakah saya ahli FTPB? Tidak. Adakah pandangan saya diminta? Tidak. Adakah saya memberikan nasihat undang-undang? Ya, tapi setakat itu sahaja.”
Mengulas lanjut, Anwar menolak tanggapan bahawa pengurangan hukuman penjara Najib dari 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta adalah bukti campur tangan politik.
Sebaliknya, beliau menyifatkan keghairahan sesetengah pihak terhadap isu Najib sebagai “obsesi yang tidak wajar”, malah menganggapnya sebagai gangguan terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah secara menyeluruh.
“Proses sewajarnya diteruskan. Tapi mengapa obsesi terhadap lelaki ini yang sudah pun berada dalam penjara? Demi Tuhan, dia dalam penjara!”
Anwar turut menegaskan banyak lagi kes berprofil tinggi dan skandal rasuah yang sedang disiasat dan tidak wajar dibayangi oleh satu nama semata-mata.
“Saya fikir ini adalah helah jahat oleh beberapa penyangak yang mahu menonjolkan Najib berulang kali supaya kes mereka sendiri terlepas pandang.”
Anwar dalam pada itu menyeru agar ruang diberikan kepada kerajaan perpaduan untuk mentadbir negara secara telus dan berprinsip.
“Biarkan kami membina semula tadbir urus yang baik, menjunjung kedaulatan undang-undang dan memastikan kebebasan kehakiman terus dipertahankan.”
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah dalam skandal SRC International.