KUALA LUMPUR: Dakwaan sesetengah pihak yang melabelkan program pengajian di universiti sebagai “bodoh” atau tidak berguna disifatkan sebagai dangkal, tidak berasas dan berniat jahat.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menegaskan bahawa semua program yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) telah melalui proses penilaian ketat dan diluluskan berdasarkan piawaian kualiti tinggi.
“Setiap program pengajian perlu melalui pelbagai peringkat saringan dan penilaian sebelum diluluskan. Ia bukan direka sewenang-wenangnya. Tujuannya adalah untuk memastikan kualiti dan keberkesanan dalam melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan beliau hadir susulan video tular oleh seorang pempengaruh media sosial yang mendakwa bidang seperti komunikasi massa, muzik, teater dan seni tari tradisional sebagai tidak relevan dan tidak wajar ditawarkan hingga ke tahap ijazah.
Menurut Mohammad Shatar, kenyataan seperti itu jelas bermotifkan ‘click bait’ untuk menarik perhatian pengguna media sosial, tanpa memahami realiti pendidikan tinggi.
“Dia hanya mahu mencetus kemarahan. Inilah strategi ‘rage bait’ mencetus provokasi untuk raih tontonan dan reaksi. Malah di hujung video, dia sempat promosi ulasan berbayar, menunjukkan niat sebenar,” katanya.
Menjawab isu kebolehpasaran graduan, beliau menekankan bahawa ia tidak boleh dilihat hanya daripada sudut kursus semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada keadaan ekonomi dan pasaran kerja semasa.
“Graduan dari Malaysia diiktiraf di seluruh dunia kerana kualiti pendidikan kita diperakui oleh badan penilai antarabangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, untuk kekal relevan dan berdaya saing, pelajar disarankan memperkasa diri dengan kemahiran tambahan seperti penguasaan bahasa asing, kecekapan teknologi dan kemahiran insaniah.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan pandangan negatif yang cuba merendahkan sistem pendidikan negara.
“Setiap program yang diluluskan oleh MQA disaring secara profesional melibatkan panel pakar dan kajian pasaran. Tiada program ‘bodoh’. Yang membodohkan ialah persepsi tanpa fakta,” tegasnya.