KUALA LUMPUR: Penyedia utama penyelesaian infrastruktur rangkaian dan keselamatan siber Asia, Nexion Technologies Limited (HKEX: 8420), hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Kenneth Vun sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat itu, berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan tokoh korporat berpengalaman itu disifatkan sebagai langkah strategik Nexion dalam memperkukuh tadbir urus korporat dan mempercepat agenda pertumbuhan serta transformasi digitalnya di rantau Asia-Pasifik.
Kenneth Vun membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor teknologi, telekomunikasi, kewangan dan pasaran modal, sekali gus meletakkan beliau sebagai pemimpin yang sesuai untuk menerajui hala tuju strategik syarikat.
“Sebagai Pengerusi, beliau akan memainkan peranan penting dalam pengawasan Lembaga Pengarah terhadap strategi korporat, pembangunan perniagaan dan dasar tadbir urus jangka panjang,” menurut kenyataan rasmi Nexion.
Beliau juga dikenali atas kepakarannya dalam infrastruktur AI, inovasi digital dan teknologi fintech, iaitu bidang yang kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital serantau.
Kenneth Vun kini memegang kepentingan tidak langsung dalam Nexion menerusi XOX Berhad, yang memiliki 13.27% saham dalam syarikat tersenarai di Bursa Hong Kong itu.
Pelantikan ini menunjukkan penjajaran strategik antara kepemimpinan syarikat dan pemegang saham utama, sekaligus menekankan komitmen terhadap pertumbuhan mampan serta penciptaan nilai jangka panjang.
Beliau juga merupakan Pengarah Urusan XOX Berhad dan Symphony Life Berhad, dua syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, dan telah diiktiraf atas peranannya memacu transformasi teknologi dan pelaburan serantau merentas pelbagai industri.
Berpusat di Hong Kong, Nexion Technologies Limited merupakan penyedia infrastruktur rangkaian perusahaan, perkhidmatan keselamatan siber dan platform digital berasaskan awan.
Pelanggannya merangkumi agensi kerajaan serta syarikat korporat di seluruh Asia yang memerlukan penyelesaian digital berskala dan selamat bagi menghadapi cabaran ekonomi digital yang kian kompleks.
Pelantikan Kenneth Vun dijangka memberi impak besar dalam memperkukuh kedudukan pasaran Nexion serta memperluas jaringan strategiknya di peringkat serantau.