Rafizi: Jika Nurul Izzah Kalah, Anwar Akan Pikul Beban Besar

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi amaran bahawa kekalahan Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR akan memberikan tamparan besar kepada kepimpinan parti, khususnya kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Rafizi, sekiranya puteri sulung Perdana Menteri itu tewas, ia akan memberikan mesej seolah-olah Anwar sendiri telah ditolak oleh akar umbi parti yang dipimpinnya sejak sekian lama.

“Apabila Nurul Izzah masuk gelanggang bertanding dengan saya, yang kena pikul beban dan implikasi adalah Anwar Ibrahim,” katanya dalam Jelajah Hiruk Zon Utara malam tadi.

Rafizi menegaskan bahawa kemenangan Nurul Izzah adalah satu-satunya pilihan bagi mengelakkan imej PKR dan presidennya tercalar, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

“Saya tidak dapat bayangkan jika beliau kalah… kita berdepan pembangkang dengan mesej bahawa Presiden PKR sendiri tidak lagi mendapat sokongan partinya,” ujarnya.

Rafizi turut mendedahkan bahawa pertembungan antara beliau dan Nurul Izzah tidak akan berlaku sekiranya tiada pihak tertentu yang “masuk jarum” dan mengganggu struktur kepimpinan sedia ada.

Beliau turut mendedahkan bahawa Anwar sendiri pernah menasihati Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Biro Politik PKR agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, bagi mengekalkan kestabilan dalam parti.

“Parti kita sebelum ini tenang, tiada isu besar. Tapi ada yang tidak senang bila ramai ketua cabang yang menyokong gagasan Ayuh Malaysia menang pada pemilihan 2022,” jelasnya.

Rafizi turut menyentuh isu ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli parti yang menyuarakan keperluan ‘menukar’ barisan kepimpinan bagi memastikan sokongan padu terhadap Presiden.

“Tiba-tiba ada yang kata kita kena tukar semua ini demi sokongan 100 peratus kepada Presiden, sedangkan itu tidak pernah menjadi isu sebelum ini,” katanya.

Rafizi turut menjaw spekulasi kononnya beliau sedang mengatur langkah untuk ‘menikam belakang’.

“Kalau saya Azmin Ali, tak ada saya di sini. Nak tikam belakang Presiden? Nak jadi menteri? Saya dah bosan jadi menteri. Tiap-tiap hari kena masuk pejabat.”

Dalam ceramah yang sama juga Rafizi memberi peringatan kepada parti mengenai bahaya nepotisme, merujuk kepada sejarah pemerintahan di Cuba melibatkan Fidel Castro, Raul Castro dan Che Guevara sebagai contoh bagaimana kekuasaan dalam satu keluarga boleh mengundang kerosakan jangka panjang.

BBerkaitan

Latest articles