95% Perkhidmatan Kerajaan Dalam Talian Menjelang 2030 – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa 95 peratus perkhidmatan kerajaan akan beroperasi secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030, seiring dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital.

Pengumuman itu dibuat ketika Anwar membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen hari ini.

“Malaysia beraspirasi untuk berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dalam Online Service Index serta mengekalkan status Kategori A dalam GovTech Maturity Index,” tegas beliau.

Anwar menegaskan Malaysia telah menetapkan hala tuju jelas untuk menerajui ekonomi digital Asia Tenggara, termasuk melalui penerapan teknologi tempatan, pembangunan aset strategik digital seperti AI, data analitik dan sistem digital kerajaan.

Pelbagai usaha akan digerakkan termasuk Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030, pengukuhan ekosistem AI dan kepercayaan digital, pelaksanaan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Dasar Ekonomi Digital serta penggunaan identiti digital perniagaan dan digital twin dalam industri.

“Kita mahu membangunkan ekosistem yang bukan sahaja berteknologi tinggi, tetapi juga selamat dan berdaulat, selari dengan matlamat membina negara yang berdaya saing,” ujar Anwar.

Bagi memperkukuh tadbir urus data digital negara, kerajaan akan mewujudkan Bank Data Negara sebagai pangkalan data bersepadu dan menubuhkan Suruhanjaya Data untuk mengawal selia keselamatan dan kedaulatan maklumat negara.

Dalam masa sama, literasi AI akan diterapkan di peringkat sekolah rendah, dan pelbagai program akan digerakkan bagi menyokong inovasi tempatan, memperluas pendaftaran harta intelek serta meningkatkan kolaborasi rentas sektor.

“Kita akan pastikan transformasi digital ini menyeluruh dari sekolah hingga industri, dan dari penyelidikan ke komersial,” kata Anwar.

Beliau yakin pendekatan itu mampu membentuk ekosistem inovasi kukuh, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memberi pulangan jangka panjang kepada rakyat.

BBerkaitan

Latest articles