KUALA LUMPUR: Tragedi menyayat hati melibatkan sebuah treler bermuatan batu dan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terus meragut nyawa apabila pemandu treler terbabit disahkan meninggal dunia, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada sembilan orang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, memaklumkan pemandu treler tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
“Ketika kejadian, terdapat 18 anggota FRU dalam trak berkenaan. Lapan daripadanya disahkan maut di tempat kejadian, manakala 10 lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sayani, semua mayat telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat, sementara mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, memaklumkan bahawa semua anggota FRU yang terlibat dalam insiden ngeri itu adalah dari Unit 5, Sungai Senam, Ipoh.
“Kenyataan media lengkap berkaitan siasatan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ringkas.
Punca sebenar nahas masih dalam siasatan, namun difahamkan treler yang sarat muatan batu itu hilang kawalan sebelum merempuh trak FRU.