KUALA LUMPUR: Seramai 41 ‘jurugambar jalanan’ dikenakan kompaun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi khas yang dijalankan di sekitar kawasan tumpuan pelancong berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Operasi bersepadu yang dikenali sebagai Ops Lens itu turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dengan fokus terhadap aktiviti penyediaan perkhidmatan fotografi tanpa lesen yang semakin berleluasa di kawasan awam.
Menurut kenyataan DBKL, semakan identiti turut dilakukan ke atas individu yang terlibat bagi mengenal pasti status dokumentasi, rekod jenayah dan taraf kerakyatan.
“Hasil operasi, tiada penahanan dilakukan, namun sejumlah 41 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran sah,” kata DBKL.
DBKL menegaskan bahawa aktiviti jurugambar jalanan yang tidak berdaftar bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam, terutamanya di kawasan pelancongan seperti KLCC.
“Ruang awam adalah milik bersama. Ia harus digunakan dengan beretika dan tertib serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” tambah kenyataan itu.
DBKL turut memberi amaran bahawa tindakan lebih tegas termasuk sitaan peralatan dan barangan fotografi akan diambil jika aktiviti ini terus dijalankan secara berulang tanpa lesen sah.
Sebagai langkah berterusan, DBKL memberi jaminan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Lumpur kekal selamat, tersusun dan harmoni untuk semua warga kota dan pengunjung.