26 Warga Bangladesh Cuba Masuk Secara Haram Digagalkan AKPS

KUALA LUMPUR: Cubaan licik sindiket ‘counter setting’ untuk menyeludup masuk 26 warga Bangladesh ke Malaysia berjaya dipatahkan oleh Pasukan Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) semalam.

Menurut kenyataan rasmi Unit Komunikasi Korporat AKPS hari ini, kesemua warga asing itu berjaya dikesan dan dipintas sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 menerusi dua penerbangan berasingan dari Dhaka.

“Mereka dikesan sejurus keluar dari pesawat dan terus dibawa ke Pejabat Operasi AKPS KLIA1 untuk proses semakan lanjut,” kata kenyataan itu.

Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu tersebut gagal memenuhi syarat kemasukan sah ke Malaysia.

Mereka turut memberikan alasan yang mencurigakan ketika pemeriksaan dilakukan.

Bertindak pantas, pihak AKPS KLIA1 mengeluarkan arahan segera agar kesemua mereka dihantar pulang ke negara asal dengan penerbangan seterusnya.

Tindakan ini dipercayai ada kaitan dengan sindiket ‘counter setting’ — satu taktik terancang yang digunakan untuk melepasi kawalan imigresen dengan bantuan dalaman atau penyamaran maklumat perjalanan.

Kejayaan ini menurut AKPS, adalah hasil kerjasama erat antara Unit Risikan dan Pasukan Pemantau AKPS KLIA1, yang sentiasa memantau aktiviti mencurigakan di pintu masuk utama negara.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen AKPS dalam mengekang kemasukan pelawat berisiko tinggi yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam negara,” tambah kenyataan itu.

AKPS turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan sempadan negara, khususnya di lokasi strategik seperti KLIA.

BBerkaitan

Latest articles