1MDM: Shafee Persoal Kegagalan Bawa Pulang Jho Low, Dakwa Jejas Keyakinan Terhadap Keadilan Kes

KUALA LUMPUR: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan kegagalan pihak berkuasa membawa pulang Low Teck Jho atau Jho Low yang dikenal pasti secara konsisten sebagai dalang utama penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menimbulkan tanda tanya walaupun bertahun-tahun skandal itu terbongkar.

Ujarnya sepanjang perbicaraan berkaitan 1MDB, pelbagai saksi pendakwaan dan pembelaan telah menamakan Jho Low sebagai individu yang merancang serta mengawal penyelewengan dana berkenaan.

Namun, sehingga kini, beliau masih berada di luar negara dan belum dibawa ke Malaysia untuk dibicarakan.

Mengulas perkara itu kepada media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini, Shafee mempersoalkan sama ada wujud sebarang rundingan sulit yang menghalang dalang utama skandal berkenaan daripada dihadapkan ke muka pengadilan.

Beliau turut mempersoalkan tahap keberkesanan usaha penguatkuasaan, termasuk status Notis Merah Interpol, yang didakwa tidak lagi aktif.

Menurut Shafee, kegagalan membawa pulang Jho Low mencetuskan persepsi layanan berbeza terhadap individu yang dikenal pasti sebagai dalang utama skandal kewangan terbesar negara.

Katanya, isu itu perlu dilihat seiring dengan layanan terhadap pihak lain yang terlibat secara langsung dalam urus niaga 1MDB, termasuk pemberian perlindungan saksi kepada individu yang memainkan peranan signifikan.

“Apabila individu utama tidak didakwa atau dibicarakan, sedangkan saksi lain diberikan perlindungan, ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap ketelusan dan keadilan proses undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, ketiadaan Jho Low dalam prosiding mahkamah turut menjejaskan proses pencarian fakta sebenar, khususnya berkaitan aliran dana dan struktur konspirasi 1MDB.

“Bagaimana kebenaran penuh dapat dicapai jika individu yang dinamakan sebagai dalang utama tidak pernah diuji keterangannya di mahkamah?” soalnya.

Shafee menegaskan, kegagalan membawa pulang Jho Low bukan sahaja menimbulkan persoalan keadilan, malah mencabar integriti keseluruhan proses pendakwaan.

Tanpa kehadiran individu berkenaan di mahkamah, katanya, persoalan siapa yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam skandal 1MDB akan terus menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles