IPOH: Seorang guru mencetuskan kemarahan ramai apabila memuat naik kenyataan di Facebook mendakwa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Jalan Gerik-Jeli pada Isnin lalu meninggal dunia dalam keadaan hina kerana berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Lebih mengejutkan, guru terbabit, dikenali sebagai Khalid Yunus, turut mendakwa mereka bukan orang beriman dan layak ke neraka, mencetuskan kecaman hebat daripada netizen dan keluarga mangsa.
Bagaimanapun, kenyataan asal itu telah dipadamkan.
Khalid kemudian memuat naik permohonan maaf terbuka, mendakwa dirinya menghidap skizofrenia, sejenis gangguan mental yang menyebabkan halusinasi dan delusi.
“Saya ingin memohon maaf terhadap insiden yang berlaku kepada pelajar UPSI. Semoga mereka ditempatkan bersama orang-orang beriman dan mendapat husnul khotimah,” tulisnya di Facebook.
Insiden itu mengundang kemarahan netizen yang menganggap kenyataan guru berkenaan melampau, tidak sensitif dan menghina mangsa serta keluarga mereka. Ramai mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut.